This press release is also available in English.
KUALA LUMPUR, 16 Julai 2023 – Negeri Perak hari ini berjaya mengadakan prapelancaran Tahun Melawat Perak 2024 (TMP2024), yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Yang Berhormat Dato’ Seri Saarani bin Mohamad di NU Sentral, Kuala Lumpur.
Prapelancaran ini adalah inisiatif oleh kerajaan negeri Perak untuk menarik lebih ramai pelancong dan meningkatkan daya tarikan Perak sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.
Selain itu, logo dan video pengenalan TMP2024 turut dilancarkan bertujuan untuk mempromosikan dan meningkatkan kesedaran tentang TMP2024 di kalangan pelancong domestik dan antarabangsa.
Selaras dengan prapelancaran TMP2024, agensi pelancongan bagi negeri Perak, Tourism Perak Management Berhad (Tourism Perak) telah menganjurkan Perak Travel Fair 2.0 selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Julai 2023 dari pukul 10:00 pagi hingga 9:00 malam yang bertempat di Centre Court, NU Sentral, Kuala Lumpur.
Sebanyak 22 pengusaha produk pelancongan, enam pengeluar produk makanan, dan empat pengusaha kraftangan telah terlibat dengan pameran pelancongan ini untuk mempamerkan pelbagai tawaran pelancongan yang unik di negeri Perak.
Sehubungan dengan itu, Tourism Perak turut bekerjasama dengan Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATTA) Cawangan Perak dengan membawa 32 agensi pelancongan dari Persatuan Agensi Pelancongan Thai (TTAA) ke Perak melalui program pengenalan selama lima hari empat malam yang dinamakan TTAA FamTrip ke Perak dari 16 hingga 21 Julai 2023.
Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan maklumat terkini tentang produk dan destinasi pelancongan yang menarik di negeri Perak yang boleh dipakejkan khas untuk pasaran Thailand.
MATTA dan TTAA juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memperkukuhkan hubungan di antara kedua-dua organisasi bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai pelancong Thailand berkunjung ke Malaysia, terutamanya negeri Perak.
Susulan dari TMP2024, Kerajaan Negeri Perak menyasarkan kedatangan lapan juta pelancong tempatan dan 350,000 pelancong antarabangsa. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Perak berada pada kedudukan ke-empat di kalangan negeri-negeri di Malaysia yang mencatatkan jumlah kedatangan pelancong domestik tertinggi iaitu sebanyak 14.6 juta.
Perak bukan hanya kaya dengan pelbagai pilihan gastronomi tetapi juga kepelbagaian etnik tempatan dan budaya dengan berbagai-bagai aktiviti rekreasi seperti berbasikal, golf, air panas semulajadi, rawatan spa kesihatan, taman tema, seni dan kraftangan, termasuk bermacam-macam mural kreatif yang dihasilkan oleh artis tempatan dan luar negara.
Untuk maklumat terkini berkaitan dengan acara-acara di Perak sempena Tahun Melawat Perak 2024, sila layari platform media sosial Tourism Perak di Facebook, Twitter, Instagram, and TikTok, including https://www.tourismperakmalaysia.com/.
-Tamat –
Disediakan oleh: Tourism Perak Management Berhad
PESERTA PERAK TRAVEL FAIR 2.0 DI NU SENTRAL, KUALA LUMPUR
Berikut adalah senarai agensi pelancongan, pengendali produk pelancongan, restoran makanan dan pengusaha kraftangan yang telah menyertai pameran ini dari Perak:
PRODUK PELANCONGAN
- Taman Eko Rimba Lata Kinjang
- Tingkat Valley, Ipoh
- Pangkor Village Beach Resort
- Kellie’s Castle
- Tin Dredge TT5
- Time Free Vacation Sdn Bhd
- Bukit Merah Laketown Resort
- Zoo Taiping & Night Safari
- D’Rumah Bonda River View
- Felda Residence Hot Springs
- Gopeng Glamping Park
- Keretapi Tanah Melayu Berhad
- Perak River Safari Sdn Bhd/Victoria Bridge Tourism
- River Explorer
- Panorama Lenggong
- Travel Pangkor – Unit Pengurusan Pulau Bebas Cukai
- Tasik Cermin Ipoh
- The Haven All Suite Resort, Ipoh
- Perak Football Club
- Kuak Hill Resort
RESTORAN MAKANAN
- Mesra Herbas Sdn Bhd
- Leo Snacks & Nuts Industry
- Ngopdul Coffee
- Zie Putu Perak
- Mama Keen Empire
- Rendang Tok Yeop
PENGUSAHA KRAFTANGAN
- Zuhrahsabki Enterprise (Tekat Benang Emas)
- Ausbatik
- Cebisan Seni Enterprise
- Mohamad Hashim Enterprise
2 replies on “Tourism Perak Berjaya Anjur Prapelancaran Tahun Melawat Perak 2024 di Kuala Lumpur”
[…] Siaran akhbar ini turut disediakan di dalam Bahasa Melayu […]
Can I know who’s the responsible for designing and developing the logo for Visit Perak 2024?