Categories
News & Happenings Press

Pelancaran Tahun Melawat Perak 2024 x Sambutan Ambang Tahun Baru 2024

Kerajaan Negeri melalui Tourism Perak akan menganjurkan Majlis Pelancaran Tahun Melawat Perak 2024 x Sambutan Ambang Tahun Baru 2024 bermula pada 30 Disember 2023 hingga 1 Januari 2024 bertempat di Silverlakes Village Outlet, Batu Gajah.

This press release is also available in English.

Silverlakes Village Outlet, Batu Gajah, 19 Disember 2023 – Kerajaan Negeri melalui Tourism Perak akan menganjurkan Majlis Pelancaran Tahun Melawat Perak 2024 x Sambutan Ambang Tahun Baru 2024 yang dijadualkan dari 30 Disember 2023 hingga 1 Januari 2024 bertempat di Silverlakes Village Outlet, Batu Gajah.

Sehubungan dengan itu, pelbagai pengisian menarik telah dirangka bagi memeriahkan lagi program sambutan ini seperti Perak Bike Week 2023, Finale Perak Travel Fair, Wayang Pacak, Pertandingan Muzikustika dan Popstarz, Kuiz Pelancongan, Sharing Session, serta VPY Fun Run. Lebih 20,000 pengunjung dijangka hadir sepanjang tiga hari sambutan ini berlangsung.

Silverlakes Village Outlet dipilih sebagai lokasi program ini bertepatan dengan kemunculannya sebagai produk pelancongan baharu yang terkemuka di Negeri Perak. Kemunculannya dijangka bakal menggalakkan lagi industri pelancongan dan hospitaliti di Perak, sekaligus menjana ekonomi komuniti setempat khususnya bagi penduduk di kawasan Batu Gajah, Kampar, dan Perak Tengah.

Selain itu, sebanyak 50 usahawan dan peniaga kecil bakal turut serta memeriahkan program sambutan ini dengan menawarkan pelbagai jualan makanan, minuman, aksesori, refleksologi, dan lain-lain.

Majlis Pelancaran Tahun Melawat Perak 2024 akan disempurnakan oleh Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, YAB Dato’ Seri Saarani Bin Mohamad dan disertai oleh barisan tetamu jemputan, wakil jabatan serta persatuan berkaitan pelancongan. Antara lain, YAB Menteri Besar akan turut memperkenalkan maskot pelancongan baru yang diberi nama ‘KOPITA’, diilhamkan daripada kopi tarik, yang akan berpasangan dengan maskot terdahulu ‘KOPIRO’.

Sementara itu, Tourism Perak telah mewujudkan kerjasama strategik bersama syarikat-syarikat tempatan seperti Perak FC, Chek Hup, Grab, Canon, Cactus, dan HOVID (Ho Yan Hor) untuk mempromosikan produk-produk pelancongan di semua platform media sosial masing-masing. Inisiatif ini bertujuan mempertingkatkan kesedaran jenama Tahun Melawat Perak 2024 kepada pelanggan dan dapat memberi penjimatan kepada Kerajaan Negeri sehingga RM5 juta.

Di samping pelaksanaan program seumpama ini, Tourism Perak juga telah menyediakan senarai lebih daripada 100 acara pelancongan bagi tahun 2024 melibatkan peringkat daerah dan negeri dengan membawa slogan ‘Promising Perak‘ bagi merancakkan lagi semangat menjayakan Tahun Melawat Perak 2024.

Untuk maklumat lanjut mengenai acara-acara sepanjang Tahun Melawat Perak 2024, layari laman media sosial Tourism Perak di Facebook, Instagram, TikTok, atau laman sesawang di: https://tourismperakmalaysia.com.

Disediakan oleh,

Unit Acara
Bahagian Perkhidmatan Pelancongan (BPP)
Tourism Perak Management Berhad

One reply on “Pelancaran Tahun Melawat Perak 2024 x Sambutan Ambang Tahun Baru 2024”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *