This press release is also available in English.
KUALA LUMPUR, 10 Oktober 2023 — Majlis Pelancaran Perak Internal Wrapping ETS yang berlangsung di KL Sentral pada hari ini merupakan sebahagian daripada usaha mempromosikan Tahun Melawat Perak 2024 yang bakal tiba tidak lama lagi.
Majlis pelancaran ini telah dirasmikan oleh YB Tuan Loh Sze Yee, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, yang mewakili YAB Menteri Besar Perak.
Negeri Perak merupakan negeri pertama yang telah meletakkan iklan sedemikian menggunakan keseluruhan bahagian dalam tren ETS, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kesedaran tentang destinasi pelancongan di negeri ini.
Pemilihan ETS sebagai medium promosi ini sesuai dengan sasaran pasaran domestik, dengan lebih daripada 11,000 penumpang menggunakan perkhidmatan ini setiap hari, merangkumi wilayah utara, tengah, dan selatan Semenanjung Malaysia dengan 32 kekerapan perkhidmatannya. Beberapa stesen utama ETS di Perak termasuk Ipoh, Taiping, dan Batu Gajah.
Pengiklanan di dalam ETS mengetengahkan enam segmen khas pelancongan Perak, termasuk warisan, makanan, alam semulajadi, percutian keluarga, dan kraftangan.
Keseluruhan pengiklanan ini dijangka akan meraih perhatian dari trafik sekitar 200,000 orang setiap bulan, sekaligus menambah baik promosi daya tarikan pelancongan negeri Perak.
Sempena majlis pelancaran ini, Tourism Perak turut menyediakan sajian istimewa negeri Perak seperti Rendang Tok, Ipoh White Coffee, Kacang Buntong, dan produk kesihatan HOVID untuk diedarkan kepada tetamu yang hadir.
Selain itu, Tourism Perak turut memperkenal dan melancarkan maskot pelancongan baharu Perak, yang diberi nama “KOPITA”. Nama ini diambil daripada singkatan “kopi tarik” dan “tapir,” dan ia menjadi pasangan kepada maskot terdahulu Perak iaitu “KOPIRO.”
Tourism Perak turut mengedarkan kalendar acara Tahun 2024, yang menyenaraikan lebih daripada 100 acara pelancongan yang akan berlangsung di seluruh negeri kepada penumpang ETS untuk menjayakan lagi Tahun Melawat Perak.
Inisiatif Kerajaan Negeri dalam memeriahkan Tahun Melawat Perak 2024 tidak terhenti di sini. Pelbagai program dan aktiviti telah dirancang di peringkat daerah, negeri, dan antarabangsa dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuk Pihak Berkuasa Tempatan, NGO, persatuan, dan banyak lagi, dengan matlamat mencapai sasaran kedatangan pelancongan domestik sebanyak 8.0 juta dan antarabangsa sebanyak 350 ribu dalam tahun yang akan datang.
One reply on “Majlis Pelancaran Perak Internal Wrapping ETS Memeriahkan Tahun Melawat Perak 2024”
[…] Siaran akhbar ini turut disediakan di dalam Bahasa Melayu […]